Ramai yang tidak sedar kelainan pada air kencing seperti berbuih kerana merasakan ia perkara biasa tambahan pula aktiviti di dalam bilik air sering dilakukan dengan pantas kerana mengejar masa.

Ya, berbuih sedikit pada air kencing adalah perkara biasa kerana tekanan pada permukaan air kencing menghasilkan buih dan simptom akibat tekanan tesebut biasanya hilang selepas seketika.

Namun ia sesuatu yang perlu diambil berat jika perubahan buih yang banyak terutama pada pesakit diabetes kerana itu mungkin menyebabkan diabetes nefropati, iaitu diabetes yang menyebabkan kerosakan pada buah pinggang.

Nefropati bermaksud penyakit atau kerosakan buah pinggang.

Diabetes Nefropati adalah kerosakan pada buah pinggang yang disebabkan oleh diabetes.

Dalam kes-kes yang teruk ia boleh membawa kepada kegagalan buah pinggang tetapi tidak semua pesakit diabetes mempunyai kerosakan buah pinggang.

Dalam keadaan normal, badan kita mencerna protein yang kita makan setiap hari dan proses tersebut menghasilkan bahan buangan. Di dalam buah pinggang, terdapat berjuta-juta salutan darah kecil dan kapilari didalamnya bertindak sebagai penapis.

Apabila aliran darah melalui saluran darah, sisa buangan ini menjadi sebahagian daripada air kencing dan tetapi bahan yang berguna seperti sel-sel protein terlalu besar untuk melalui laluan penapis lalu ia kekal di dalam darah.

Bagaimanapun, tahap gula dalam darah akan merosakkan sistem ini, menjadikan buah pinggang menapis terlalu banyak darah dan ‘kerja tambahan’ ini memberi beban kepada penapis.

Selepas bertahun-tahun, penapis tersebut mula rosak lalu membocorkan bahan seperti protein ke dalam air kencing. Mempunyai jumlah protein dalam air kencing dipanggil proteinuria dan air kencing berbuih adalah petanda diabetes nefropati

Menurut Pakar Perunding Nefrologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Soehardy Zainudin, kencing berbuih merupakan simptom utama kerosakan buah pinggang akibat diabetes dan ia perlu dipandang serius kerana rawatan yang lambat boleh membawa maut.

“Diabates nefropati boleh menyebabkan serangan jantung. Mereka yang mengalami kencing manis dan kerosakan buah pinggang boleh dianggap sudah pun mempunyai sakit jantung kerana ia membuatkan saluran darah tidak sihat dan sering menyerang tanpa tanda awal.

” Pencegahan merupakan usaha yang amat penting teutama mereka yang sudah disahkan mengalami kencing manis. Diet dengan mengawal pengambilan karbohidrat, lebihkan serat dan sayur-sayuran. Perlu lebih berhati-hati dengan protein sebab itu pesakit perlu mendapat pemeriksaan doktor dan pakar diet.” terangnya ketika ditemui di Hospital Pantai Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara simptom lain – rasa letih, selera makan berkurangan, ruam dan gatal-gatal di kulit, muntah-muntah, kencing semakin kurang dan kaki mulai bengkak.

Komplikasi akibat penyakit ini apabila ia mencapai peringkat akhir iaitu pesakit susah bernafas, paru-paru berair, pengumpulan toksik di dalam badan, senang terkena serangan jantung dan akhirnya buah pinggang rosak yang menyebabkan pesakit melakukan dialisis.

Pesakit diabetes juga perlu mengawal tekanan darahnya, mengawal berat badan dan melakukan senaman tiga hingga lima kali seminggu iaitu sekurang-kurangnya 15 minit bagi setiap sesi.

RAWATAN

Jika datang di peringkat awal, ujar Dr. Soehardy, ada rawatan yang boleh menghalang daripada penyakit ini semakin teruk lalu menyebabkan kegagalan buah pinggang.

“Jika sudah terlambat seperti kerosakan buah pinggang tahap empat atau lima, tidak banyak ubat yang berkesan dan akhirnya pesakit perlu berdepan dengan hemodialisis iaitu peretonial dialisis.

“Malah jika buah pinggang di tahap yang tidak boleh diselamatkan, kemungkinan perlu berdepan dengan pemindahan buah pinggang yang semestinya lebih berisiko dan memakan kos yang tinggi.

“Diperingkat awal, ada ubat yang diberikan bagi mengawal penyakit kencing manis daripada bertambah buruk supaya buah pinggang kekal sihat. Antara ubat yang digunakan ialah ubat mengurangkan protein dan diuretik,” terangnya.

Menurut Dr.Soehardy, ramai pesakit diabetes nefropati di Malaysia mengalami kerosakan buah pinggang tahap akhir dan rawatannya memakan kos yang tinggi sehingga RM50,000 untuk dialisis.

Malah, berdasarkan rekod pesakit, setiap tahun terdapat 5,000 hingga 6,000 kes baru di Malaysia, melihat kepada kadar obesiti dan diabetes yang tinggi di sini.

Utusan Malaysia